Jumat, 23 November 2012

Kisah Benar dan menakjubkan, itulah kuasa ALLAH


Setiap kali membaca Surah Yasin, jiwa saya terasa menggeletar apabila sampai pada dua ayatnya yang terakhir. Makna kedua-dua ayat itu memberi kesan mendalam kepada diri saya. "Hanya urusan-Nya bila Ia menghendaki (mengadakan) sesuatu, Ia berkata kepadanya; Jadilah engkau! Lalu jadilah ia. Maka Maha sucilah yang di tangan-Nya milik tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nya kau dikembalikan." Benar, Allah itu Maha Berkuasa. Allah boleh  menjadikan sesuatu dengan hanya berkata, 'jadilah' an Dia juga boleh meniadakan sesuatu jika itu yang dikehendaki-Nya.
Mengapa? Kerana kita ini makhluk-Nya. Dia yang mencipta dan Dia boleh meniadakan kita. Kita dilahir dan dicipta dengan sebegitu sempurna tetapi bila sampai waktunya, kita akan  kembali kepada-Nya semula. Saya sengaja menghuraikan serba ringkas makna dua ayat tersebut kerana ada cerita di sebaliknya. Begini. Di kampung kami, Kampung Tok Betek, Kota Bharu, Kelantan ada sepasang suami isteri. Suami bernama Draman, isterinya Lijah dan mereka mempunyai tiga orang anak. Mereka hidup serba kekurangan tetapi ia menjadi bertambah-tambah sempit kerana Draman kaki judi. Pantang ada duit, ke meja judilah dia. Walaupun hasil berkebun tidak seberapa, tetapi duit yang tidak seberapa itu pun digasaknya
untuk berjudi.
Kami semua tahu kesengsaraan Kak Lijah. Makan pakainya dengan tiga anak lintang-pukang. Hampir tiap hari petik pucuk pokok di keliling rumah untuk dibuat ulam. Mujurlah dia rajin bertanam sayur dan membela ayam itik, adalah lauk untuk dimakan.
Draman pula, walaupun ada memberi wang untuk keperluan harian kepada Kak Lijah, tetapi apabila angin berjudinya datang menggila, dia akan meminta semula. Tidak kiralah wang tersebut sangat-sangat diperlukan oleh Kak Lijah untuk membeli beras dan keperluan harian, andainya Draman mahu, dia akan mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun.
Seandainya Kak Lijah enggan memberi balik, siaplah. Akan lebam-lebamlah badannya dikerjakan Draman. Jiran dan seluruh penduduk kampung ini memang sudah arif dengan kepala angin serta panas baran Draman itu.
Kami selalu dengar cerita Draman menengking-nengking isterinya. Kalau nasib tidak baik, Kak Lijah dipukul, ditendang. Kami sangat simpati dengan nasib Kak Lijah. Dia wanita baik, cuma nasib tidak menyebelahinya. Bagi kami, antara Kak Lijah dengan Draman ibarat hitam dengan putih. Amalan hidup bagaikan langit dengan bumi. Kami kagum pada Kak Lijah. Biar dipukul ditendang, Kak Lijah menahan segala sakit lebam dengan tabah. Dalam pada itu Kak Lijah tidak putus-putus mengajak Draman supaya bertaubat.
Tetapi tiada perubahan. Draman tidak langsung mengendahkannya. Malah makin naik anginnya bila dinasihatkan begitu. Apalagi, kena maki hamunlah jawabnya Kak Lijah. "Pak Dollah!! Pak Dollah!! laung Pak Saad, jiran Draman pada suatu petang. Ayah saya, Dollah Ali segera menjengah daripada tingkap dan bertanya kepada lelaki itu akan tujuan  kedatangannya hingga termengah-mengah bagai dikejar harimau. "Kak....Kak Lijah, Pak Dollah! Di...di...dia kena bunuh dengan Pak Cik Draman!" balas Pak Saad tergagap-gagap. Kak Lijah kena bunuh? Kami sekeluarga berkejar ke tingkap dan menjemputnya masuk. Tetapi Pak Saad enggan kerana orang kian berpusu-pusu memenuhi rumah Kak Lijah. Lelaki itu bimbang dia dan ayah tidak akan dapat masuk ke dalam rumah wanita berkenaan. "Mayat Kak Lijah masih lagi di dalam rumah. Draman pun ada sana.
Dia dah menyerah diri kepada polis, mengaku membunuh Kak Lijah," tambah Pak Saad. Katanya, Draman jugalah yang menunjukkan kepada polis di mana mayat Kak Lijah berada serta bagaimana dan mengapa dia melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
"Ada satu hal lagi saya nak beritahu. Tetapi tak boleh sekarang," kata Pak Saad. "Kenapa?" tanya ayah. "Pak Dollah tengoklah sendiri," tambah Pak Saad. Ayah bergegas pergi. Kami juga begitu tapi saya tidak dapat masuk ke dalam rumah Kak Lijah kerana orang berhimpit-himpit, yang sudah masuk seperti tidak mahu keluar. Yang di luar pula berasak-asak ke depan.
Melihat ayah dapat masuk ke dalam rumah Kak Lijah, saya cuba mencelah-celah, tetapi tidak berhasil. Orang terlalu ramai. Dalam pada itu saya terdengar orang bercerita tentang sesuatu yang luar biasa tentang mayat Kak Lijah.
Tapi benarkah? Susah untuk saya percaya. Jenazah Kak Lijah dikebumikan malam itu juga. Tanah perkuburan diterangi jamung dan pelita. Saya hanya dapat memerhatikan saja dari jauh keranda berisi jenazah Kak Lijah diusung membelah lautan manusia yang memenuhi tanah
perkuburan. Orang-orang yang memenuhi perkuburan itu terus-menerus bercerita tentang mayat Kak Lijah. Ini menyebabkan saya makin tidak sabar untuk mengetahuinya. Malangnya ayah yang telah melihat mayat Kak Lijah sedang berada di dalam kubur untuk memasukkan jenazah. Itu sudah tugasnya sebagai penggali kubur.
Lewat malam barulah ayah pulang. Kami segera mengerumuninya, tidak sabar lagi hendak mengetahui apakah benar apa yang diperkatakan orang sejak tadi. Sebelum menjawab pertanyaan itu, ayah ceritakan dahulu apa yang berlaku. Kata ayah, Draman telah memaklumkan kepada polis bahawa kejadian tersebut tercetus pagi itu apabila dia meminta wang daripada Kak Lijah untuk berjudi.
Bagaimanapun Kak Lijah enggan memberinya kerana hendak menggunakan wang itu bagi membeli keperluan dapur. Macam biasa, Draman memaki hamun isterinya. "Bila disuruh  tinggalkan judi, bertaubat, sembahyang, lagilah Draman marah. Masa itulah dia pukul Kak
Lijah dan ambil pisau, tikam. Entah berapa kali, dia tak ingat. Mungkin dekat 20 kali. Lepas itu Draman kelar-kelar badan Kak Lijah," kata ayah sambil mengayakan perlakuan Draman menikam-nikam isterinya itu menyebabkan kami geli-geleman dibuatnya. Mayat Kak Lijah yang berlumuran darah kemudiannya dibungkus dan digulung pula dengan tikar mengkuang. Selepas itu Draman menyerah diri kepada polis. "Betul ke apa yang orang cakapkan tu?
Heboh orang cerita..." tanya emak yang tidak dapat pergi menziarah mayat Kak Lijah kerana terpaksa menunggu rumah. "Betul," jelas ayah, menjawab segala pertanyaan yang menyelubungi kami sejak tadi. "Kami semua terkejut. Mayat Kak Lijah elok. Tak ada darah langsung pada badan, kain dan tikar. Malah luka pun tak ada. Memang pelik." Tambah ayah, kesan luka tikaman itu sebaliknya licin dan digantikan dengan kesan putih seperti panau bunga. "Polis pun seolah-olah tak percaya baju Kak Lijah koyak rabak kesan ditikam,
tetapi badannya tak ada luka langsung. Setitis darah pun tak ada." Ayah sedih tengok Draman
menangis. Dia menyesal bunuh Kak Lijah. Bila tengok mayat Kak Lijah begitu elok, tiada cacat cela dan mukanya manis, dia minta ampun, minta maaf. Dia cium tangan dan kaki Kak Lijah." Kenapa mayat Kak Lijah begitu luar biasa?
"Itulah berkat membaca surah Yasin," jawab ayah.
Menurut ayah, dia ada menemui anak-anak Kak Lijah selepas pengebumian selesai. Tujuannya adalah untuk mengetahui amalan wanita itu hinggakan mayatnya begitu istimewa. Anak-anak Allahyarham memberitahu, ibu mereka setiap hari membaca surah Yasin selepas bersolat, sekurang-kurangnya sekali. Setelah itu Allahyarham letakkan kitab surah tersebut dibawah bantal sebelum melelapkan mata. Itulah punca kenapa surah Yasin dan dua ayatnya yang terakhir memberi kesan kepada saya sampai kini, walaupun Kak Lijah meninggal dunia kira-kira 70 tahun lalu ketika saya baru hendak memasuki usia remaja.