Setiap kali membaca
Surah Yasin, jiwa saya terasa menggeletar apabila sampai pada dua
ayatnya yang terakhir. Makna kedua-dua ayat itu memberi kesan
mendalam kepada diri saya. "Hanya urusan-Nya bila Ia
menghendaki (mengadakan) sesuatu, Ia berkata kepadanya;
Jadilah engkau! Lalu jadilah ia. Maka Maha sucilah yang di tangan-Nya
milik tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nya kau dikembalikan." Benar,
Allah itu Maha Berkuasa. Allah boleh menjadikan sesuatu dengan hanya
berkata, 'jadilah' an Dia juga boleh meniadakan sesuatu jika itu yang
dikehendaki-Nya.
Mengapa? Kerana kita
ini makhluk-Nya. Dia yang mencipta dan Dia boleh meniadakan kita.
Kita dilahir dan dicipta dengan sebegitu sempurna tetapi bila sampai
waktunya, kita akan kembali kepada-Nya semula. Saya sengaja menghuraikan
serba ringkas makna dua ayat tersebut kerana ada cerita di
sebaliknya. Begini. Di kampung kami, Kampung Tok Betek, Kota Bharu,
Kelantan ada sepasang suami isteri. Suami bernama Draman,
isterinya Lijah dan mereka mempunyai tiga orang anak. Mereka hidup
serba kekurangan tetapi ia menjadi bertambah-tambah sempit
kerana Draman kaki judi. Pantang ada duit, ke meja judilah dia.
Walaupun hasil berkebun tidak seberapa, tetapi duit yang tidak
seberapa itu pun digasaknya
untuk berjudi.
Kami semua tahu
kesengsaraan Kak Lijah. Makan pakainya dengan tiga
anak lintang-pukang. Hampir tiap hari petik pucuk pokok di keliling
rumah untuk dibuat ulam. Mujurlah dia rajin bertanam sayur
dan membela ayam itik, adalah lauk untuk dimakan.
Draman pula, walaupun
ada memberi wang untuk keperluan harian kepada Kak Lijah, tetapi
apabila angin berjudinya datang menggila, dia akan meminta semula.
Tidak kiralah wang tersebut sangat-sangat diperlukan oleh Kak
Lijah untuk membeli beras dan keperluan harian, andainya Draman mahu,
dia akan mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun.
Seandainya Kak Lijah
enggan memberi balik, siaplah. Akan lebam-lebamlah badannya
dikerjakan Draman. Jiran dan seluruh penduduk kampung ini memang
sudah arif dengan kepala angin serta panas baran Draman itu.
Kami selalu dengar
cerita Draman menengking-nengking isterinya. Kalau nasib tidak baik,
Kak Lijah dipukul, ditendang. Kami sangat simpati dengan nasib Kak
Lijah. Dia wanita baik, cuma nasib tidak menyebelahinya. Bagi
kami, antara Kak Lijah dengan Draman ibarat hitam dengan putih.
Amalan hidup bagaikan langit dengan bumi. Kami kagum pada Kak Lijah.
Biar dipukul ditendang, Kak Lijah menahan segala sakit lebam dengan
tabah. Dalam pada itu Kak Lijah tidak putus-putus mengajak
Draman supaya bertaubat.
Tetapi tiada
perubahan. Draman tidak langsung mengendahkannya. Malah makin naik
anginnya bila dinasihatkan begitu. Apalagi, kena maki
hamunlah jawabnya Kak Lijah. "Pak Dollah!! Pak Dollah!! laung
Pak Saad, jiran Draman pada suatu petang. Ayah saya, Dollah Ali segera menjengah
daripada tingkap dan bertanya kepada lelaki itu akan tujuan
kedatangannya hingga termengah-mengah bagai dikejar harimau.
"Kak....Kak Lijah, Pak Dollah! Di...di...dia kena bunuh dengan
Pak Cik Draman!" balas Pak Saad tergagap-gagap. Kak Lijah kena
bunuh? Kami sekeluarga berkejar ke tingkap dan menjemputnya masuk.
Tetapi Pak Saad enggan kerana orang kian berpusu-pusu memenuhi rumah
Kak Lijah. Lelaki itu bimbang dia dan ayah tidak akan dapat masuk ke
dalam rumah wanita berkenaan. "Mayat Kak Lijah masih lagi di
dalam rumah. Draman pun ada sana.
Dia dah menyerah
diri kepada polis, mengaku membunuh Kak Lijah," tambah Pak Saad.
Katanya, Draman jugalah yang menunjukkan kepada polis di mana
mayat Kak Lijah berada serta bagaimana dan mengapa dia melakukan
perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
"Ada satu hal
lagi saya nak beritahu. Tetapi tak boleh sekarang," kata
Pak Saad. "Kenapa?" tanya ayah. "Pak Dollah
tengoklah sendiri," tambah Pak Saad. Ayah bergegas pergi. Kami
juga begitu tapi saya tidak dapat masuk ke dalam rumah Kak Lijah kerana
orang berhimpit-himpit, yang sudah masuk seperti tidak mahu keluar.
Yang di luar pula berasak-asak ke depan.
Melihat ayah dapat
masuk ke dalam rumah Kak Lijah, saya cuba mencelah-celah, tetapi
tidak berhasil. Orang terlalu ramai. Dalam pada itu saya terdengar orang
bercerita tentang sesuatu yang luar biasa tentang mayat Kak Lijah.
Tapi benarkah? Susah
untuk saya percaya. Jenazah Kak Lijah dikebumikan malam itu juga.
Tanah perkuburan diterangi jamung dan pelita. Saya hanya dapat
memerhatikan saja dari jauh keranda berisi jenazah Kak Lijah
diusung membelah lautan manusia yang memenuhi tanah
perkuburan.
Orang-orang yang memenuhi perkuburan itu terus-menerus
bercerita tentang mayat Kak Lijah. Ini menyebabkan saya makin tidak
sabar untuk mengetahuinya. Malangnya ayah yang telah melihat mayat
Kak Lijah sedang berada di dalam kubur untuk memasukkan jenazah. Itu
sudah tugasnya sebagai penggali kubur.
Lewat malam barulah
ayah pulang. Kami segera mengerumuninya, tidak sabar lagi hendak
mengetahui apakah benar apa yang diperkatakan orang sejak
tadi. Sebelum menjawab pertanyaan itu, ayah ceritakan dahulu apa yang
berlaku. Kata ayah, Draman telah memaklumkan kepada polis bahawa
kejadian tersebut tercetus pagi itu apabila dia meminta wang daripada Kak
Lijah untuk berjudi.
Bagaimanapun Kak Lijah
enggan memberinya kerana hendak menggunakan wang itu bagi
membeli keperluan dapur. Macam biasa, Draman memaki hamun isterinya.
"Bila disuruh tinggalkan judi, bertaubat, sembahyang, lagilah
Draman marah. Masa itulah dia pukul Kak
Lijah dan ambil pisau,
tikam. Entah berapa kali, dia tak ingat. Mungkin dekat 20 kali. Lepas
itu Draman kelar-kelar badan Kak Lijah," kata ayah sambil
mengayakan perlakuan Draman menikam-nikam isterinya itu menyebabkan kami
geli-geleman dibuatnya. Mayat Kak Lijah yang berlumuran
darah kemudiannya dibungkus dan digulung pula dengan tikar mengkuang.
Selepas itu Draman menyerah diri kepada polis. "Betul ke
apa yang orang cakapkan tu?
Heboh orang
cerita..." tanya emak yang tidak dapat pergi menziarah mayat
Kak Lijah kerana terpaksa menunggu rumah. "Betul," jelas
ayah, menjawab segala pertanyaan yang menyelubungi kami sejak tadi.
"Kami semua terkejut. Mayat Kak Lijah elok. Tak ada darah
langsung pada badan, kain dan tikar. Malah luka pun tak ada. Memang
pelik." Tambah ayah, kesan luka tikaman itu sebaliknya licin dan
digantikan dengan kesan putih seperti panau bunga. "Polis pun
seolah-olah tak percaya baju Kak Lijah koyak rabak kesan ditikam,
tetapi badannya tak
ada luka langsung. Setitis darah pun tak ada." Ayah sedih tengok
Draman
menangis. Dia menyesal bunuh Kak Lijah. Bila tengok mayat Kak Lijah
begitu elok, tiada cacat cela dan mukanya manis, dia minta ampun,
minta maaf. Dia cium tangan dan kaki Kak Lijah." Kenapa mayat
Kak Lijah begitu luar biasa?
"Itulah berkat membaca surah Yasin," jawab ayah.
Menurut ayah, dia ada
menemui anak-anak Kak Lijah selepas pengebumian selesai. Tujuannya
adalah untuk mengetahui amalan wanita itu hinggakan mayatnya begitu
istimewa. Anak-anak Allahyarham memberitahu, ibu mereka setiap hari
membaca surah Yasin selepas bersolat, sekurang-kurangnya sekali.
Setelah itu Allahyarham letakkan kitab surah tersebut dibawah bantal
sebelum melelapkan mata. Itulah punca kenapa surah Yasin dan
dua ayatnya yang terakhir memberi kesan kepada saya sampai kini,
walaupun Kak Lijah meninggal dunia kira-kira 70 tahun lalu
ketika saya baru hendak memasuki usia remaja.

titanium white wheels
BalasHapusTitanium White wheels. Stainless steel-in a titanium titanium engagement rings for her white wheels. These wheels have been custom made by Tintori USA, LLC. Made of titanium.Material: Stainless steel - Stainless titanium framing hammer steel - Stainless steel titanium coating - Tintori titanium iv chloride USA - Tintori USA sunscreen with titanium dioxide